Monday 19 May 2014

Tidur Berdengkur Boleh Jadi Punca Penyakit Serius

 


Berdengkur memang sinonim dengan lelaki. Namun, wanita juga ada yang berdengkur. Rata-rata berpendapat kepenatan bekerja jadi penyebab mereka berdengkur.

Dengkur ialah bunyi pernafasan yang terhasil daripada aliran udara ke atas tisu dalam kerongkong yang sedang berehat. Ia menyebabkan tisu bergetar dan menghasilkan bunyi yang kuat dan kasar ketika tidur.

Antara punca berdengkur yang dikenal pasti ialah bentuk mulut. Ini kerana jika seseorang yang memiliki lelangit lembut yang terlalu rendah, uvula panjang atau tonsil bersaiz besar, ia merupakan faktor yang menghalang saluran udara.

Selain itu, ada yang berpendapat berdengkur disebabkan oleh faktor keturunan, gaya hidup, kesihatan dan juga persekitaran. Walaupun masalah ini tidak begitu ketara (kecuali pada waktu tidur), berdengkur boleh menjejaskan mutu hidup terutamanya dengkuran berbunyi lebih kerap dan kuat. Masalah berdengkur jika tidak dirawat, dikhuatiri akan membawa masalah kesihatan yang serius seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

Lebih membimbangkan jika dengkuran anda merupakan gejala apnea gangguan tidur yang boleh membawa maut jika tidak dirawat. Jika anda antara ribuan yang berhadapan dengan masalah dengkuran, anda boleh menghentikan kebiasaan ini dengan melakukan beberapa perubahan. Ini termasuklah:
  

1) Menurunkan Berat Badan.


Kurangkan berat badan jika anda termasuk dalam golongan obes. Dalam kebanyakan kes, kegemukan adalah punca paling lazim menyebabkan orang berdengkur. Ini kerana mereka yang obes memiliki jaringan leher yang tebal, menyebabkan munculnya risiko berdengkur.
  

2) Ubah Posisi Tidur.

Tidurlah secara mengiring. Bunyi dengkur terjadi ketika lelangit, tekak, tonsil dan otot saling bersentuhan sehingga menimbulkan bunyi getar. Tidur terlentang juga menyebabkan lidah tergelincir sedikit ke belakang, menyepit dan menghalang laluan udara.


 

3) Hindari Ubat Tidur dan Alkohol.

Elakkan memakan ubat tidur atau minum minuman beralkohol sebelum tidur. Inibkerana alkohol bertindak sebagai sedatif yang merehatkan otot kerongkong. Secara alternatifnya anda boleh menyedut wap air sebelum tidur.  Menyedut wap juga berupaya menghilangkan lendir yang menyebabkan hidung tersumbat.

 

4) Dapatkan Rawatan Doktor.

Doktor akan mencadangkan beberapa kaedah lain iaitu pembedahan pada kerongkong secara tradisional atau laser untuk meluaskan laluan udara dan mengurangkan getaran tisu.

Alat bantuan pergigian juga boleh digunakan bagi membetulkan kedudukan lidah dan lelangit supaya laluan udara terbuka, sekali gus membantu mengelakkan masalah berdengkur.




Ihsan daripada:  Mingguan Wanita Mei'10

No comments:

Post a Comment